Tuesday 21 February 2012

RTC Gopeng

Ahad lepas, kami sekeluarga melawat Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Gopeng, Perak. Terdapat sebuah gerai parang/pisau yang dipunyai oleh En.Sanusi dari Grik. Kebanyakkan adalah parang/pisau lapah. Bilahnya diperbuat dari besi "Jerman" katanya. Manakala hulu dan sarung dibuat daripada kayu serian atau ketengga. Yang pasti mata bilah pisau-pisau beliau sangat tajam, siap buat demo hiris kertas lagi. Sesiapa berminat boleh terus menghubungi beliau di 019-5649246.



Di booth ATM, terdapat sebilah pisau Rambo. Saya tak pasti kesesuaian penggunaan pisau ini dalam hutan Malaysia. Kalau nak buang pacat kat betis tu bolehlah, tapi kalau nak potong kayu 3 inchi, jenuh rasanya.

Monday 20 February 2012

Besi

Secara amnya bilah parang diperbuat daripada Carbon steel. Penambahan unsur Carbon meninggikan lagi kekuatan dan kekerasan besi. Bagaimana pun ianya mengurangkan keliatan besi.Maka keseimbangan di antara kekuatan, kekerasan dan keliatan bergantung kepada penggunaan produk.

Hari ini bilah kebanyakkan diperbuat dari besi spring kenderaan terpakai. Ini lebih menjimatkan dari menggunakan besi dari kilang. Berdasarkan klasifikasi American Iron and Steet Institute (AISI), carbon steel 5160 digunakan untuk membuat spring kenderaan (kebiasaannya). "60" merujuk kepada unsur carbon sekitar 0.60%. 5160  mengandungi unsur chromium yang menambah kekuatan dan mengurangkan kadar kekaratan. Namun begitu kekuatan, kekerasan dan keliatan besi bergantung kepada bagaimana proses terakhir  "hardening" dan "tempering" dibuat. Maka, disarankan membeli bilah dari tukang yang memahami kesan komposisi unsur dan proses rawatan haba.


Boleh dikatakan besi spring sudah cukup untuk membuat bilah parang yang baik. Ianya sungguh kuat dan cukup liat untuk kerja-kerja lasak. Ianya cukup tajam jika diasah dengan baik. Pastikan batu asah sentiasa dibawa bersama. Oleh kerana kerja-kerja lasak seperti membelah, memangkas akan menumpulkan mata parang serba sedikit, maka tak perlulah diasah terlalu lama. Yang pentingnnya sentiasa diasah. Ada tak besi yang susah tumpul? Ada, tapi kalau ianya menjadi tumpul tidak boleh diasah lagi pakai tangan kerana terlalu keras (tak praktikal untuk penggunaan harian).

Selain dari besi spring, terdapat juga yang menggunakan besi ball-bearing atau pun clip rel keretapi. Besi-besi ini mengandungi kandungan carbon yang lebih tinggi yang menghasilkan mata parang yang tahan tumpul dan sesuai untuk dijadikan parang sembelih yang boleh menyembelih beberapa ekor lembu sekali gus. Tapi ianya memerlukan masa asahan yang lama kerana terlalu keras dan tidak sesuai untuk parang kerja lasak kerana keliatan yang rendah dan mudah patah.

Wednesday 15 February 2012

Alat Serba Guna

Kalau sebut alat serba guna (ASG) mungkin kita akan terbayang alat-alat seperti dibawah. ASG merujuk kepada alat yang mempunyai berbagai fungsi, tidak kiralah apa bentuk sekalipun.



Telefon bimbit hari ini juga boleh dikira sebagai ASG. Ianya bukan sahaja digunakan untuk perbualan jauh, tetapi juga untuk menghantar pesanan, jam, diari, penunjuk arah, kamera, permainan video, menyimpan maklumat dan berbagai-bagai lagi.Di antara ASG yang terdapat hari ini, telefon bimbit boleh dikatakan ASG yang paling banyak dimiliki dan dibawa ke sana-sini oleh orang ramai. Ini disebabkan ianya bersesuaian dengan corak kehidupan hari ini.



Di zaman masyarakat melayu tradisi tiada lagi telefon bimbit. Parang merupakan ASG yang terpenting di waktu itu. Tiap rumah pasti ada sekurang-kurangnnya sebilah parang. Malah parang ini akan dibawa kemana-mana seperti telefon bimbit hari ini. Bagi sesetengah orang di zaman lampau, kepentingan parang mungkin melebihi kepentingan telefon bimbit hari ini kerana rezeki harian mereka amat bergantung kepada parang. Parang seolah-olah wang bagi mereka. Seperti kata pepatah "Pergi ke pekan bawa wang, pergi ke hutan bawa parang".

Bahagian-bahagian parang adalah bilah, hulu, sarung dan tali pengikat. Dari sudut kegunaan, bilah merupakan bahagian yang mempunyai berbagai fungsi.Bilah diperbuat daripada besi, manakala hulu dan sarung diperbuat dari kayu (plastik juga pada hari).




Antara kegunaan bahagian-bahagian bilah adalah seperti tersebut:

1. Mata Hiris : Menhiris, meraut, membentuk, mengukir
2. Mata Belah : Memangkas, membelah, menetak, menakek
3. Mata Sisih : Menyisih, melapah
4. Hujung : Menyocok, menikam, mencungkil, mengumpil, menyentuh bahan panas (bara)
5. Muka : Menekan, meleper
6. Belakang : Mengetuk

Tuesday 14 February 2012

Kenangan dari Ayahanda

Ayah meninggalkan kami semua buat selamanya pada 29/9/2011 di usia 87 tahun lebih. Salah satu peninggalan beliau ke tangan saya ialah sebilah parang sembelihan. Ayah mempunyai beberapa bilah parang sembelihan kerana beliau merupakan tukang sembelih dan semua parang tersebut diagihkan kepada adik-beradik sebagai bahan kenangan.

Parang ini kelihatan agak lusuh. Sarungnya hampir terbelah dua dan terpaksa diikat dengan tali. Namun masih elok untuk digunakan. Sarung dibuat daripada kayu (tak tahu jenis apa) dan terdapat ukiran yang ringan (tak penuh). Hulunya juga diperbuat daripada kayu. Panjang bilahnya sekitar 13 inchi. Bentuk bilahnya bersesuaian dengan kegunaannya sebagai parang sembelihan di mana bahagian hirisan (mata yang dekat dgn hulu) agak menonjol. Sekiranya parang digunakan untuk kerja lasak seperti memangkas, membelah dan menakek, bahagian tengah mungkin lebih menonjol. Pada bilahnya terdapat tulisan K.S.O dan KP yang ditempa. Mungkin merujuk kepada pembuatnya.


Bila saya renung parang ini, terkenang saya suasana kampung di waktu kecil. Boleh dilihat setiap lelaki pasti ada parang yang tergantung di pinggangnya atau pada basikalnya (jika agak panjang). Kepentingan parang dalam kehidupan masyarakat melayu tradisi tidak dapat dinafikan. Namun kini jasa parang hampir dilupakan disebabkan pola cara kehidupan yang berubah.  Parang merupakan satu alat pemotong yang amat penting. Tidak keterlaluan jika ianya dikatakan Alat Serba Guna (multi-purpose tool) pada kehidupan melayu tradisi. Ianya akan dibawa kemana-mana  dan digunakan untuk  mengupas and membelah kelapa sehinggalah kerja-kerja diladang.

Diharap blog ini dapat memberi maklumat mengenai parang serba sedikit untuk mengekalkan kesinambungan Parang sebagai Alat Serba Guna Melayu tradisi.