Monday 5 March 2012

Parang Tebas


Gambar di atas menunjukkan dua bilah parang yang berlainan bentuk. Parang yang pertama merupakan parang kegunaan harian. Manakala  yang kedua penggunaannya lebih khusus, saya namakan ianya parang tebas.

Parang harian amat berkait rapat dengan budaya dan tata-cara kehidupan orang melayu. Sebagai contoh; santan kelapa amat sinonim dengan masakan melayu. Maka, antara kegunaan harian parang adalah untuk mengupas kelapa. Bentuk hujung yang tajam serta runcing amat sesuai digunakan untuk mengupas kelapa.Caranya, hujung yang tajam serta runcing itu akan ditusuk kedalam sabut kelapa dan diumpil keluar. Manakala belakang parang yang rata amat sesuai untuk membelah tempurung kelapa.Mata parang tidak digunakan untuk membelah kelapa demi mengelakkan kecederaan di tapak tangan.

Parang yang kedua (parang tebas) tidaklah berapa sesuai untuk mengupas dan membelah kelapa kerana ianya agak panjang secara kebiasaannya. Ianya lebih khusus untuk kerja-kerja yang melibatkan hayunan seperti menebas, mencantas, menakek dan sebagainya. Ia juga tidak sesuai untuk kerja-kerja menghiris dan menyisih. Maka, ia jarang dibawa semasa kerja-kerja kenduri-kendara yang memerlukan kupasan kelapa yang banyak, kerja-kerja hirisan dan sisihan.Namun begitu, ianya alat berkebun yang digemari dalam kerja-kerja memangkas kayu, menebas dan sebagainya. Sekiranya ke hutan, parang ini harus ditemani dengan sebilah pisau untuk kerja-kerja hirisan dan sisihan.

Secara kebiasaannya, parang harian akan dijual beserta sarung dan panjang bilahnya kurang dari 13 inchi, manakala parang tebas dijual tanpa sarung dan panjang bilahnya lebih dari 13 inchi. Parang tebas saya di atas panjang bilahnya ialah 11 inchi yang agak jarang ditemui di kedai-kedai biasa. Ianya juga dijual tanpa sarung.Oleh kerana bilahnya agak pendek, ia boleh digunakan untuk mengupas kelapa tetapi tidak menggunakan teknik tusukan dan umpilan. Sebaliknya, sabut kelapa akan ditakek secara dari atas ke bawah supaya mudah disiat menggunakan tangan.

No comments:

Post a Comment